Welcome

SELAMAT DATANG KE BLOG Al-ABID FAMILI <<<---->>>Welcome to Al-Abid Family's blog

IKLAN

Sunday, November 30, 2008

Ayahanda Omar (Wan Omar bin Wan Mahmud) kembali ke RahmatulLah

30 Dzulkaedah 1429 bersamaan 28 November 2008, Ayahanda Wan Omar Wan Mahmud telah kembali ke RahmatulLah setelah bermalam di rumah anaknya (Wan Ishak Wan Omar) di Kampung Alai, Gemereh, Segamat, Johor Darultakzim. Aku sempat sampai sebelum jenazah dikebumikan dan berkesempatan membantu dalam upacara pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Gemereh. Pengkebumian bermula jam 11.30am.

Dari cerita bondaku, Allahyarham Wan Omar ialah anak ke empat Allahyarham Wan Mahmud (Atok Mud) suami kepada Allayarhmah Atuk Teh iaitu sepupu kepada Atuk Bek (Allahyarhamah Mengah binti Rabu) ibu kepada bondaku.

Keluarga kami rapat
Allahyarham Ayahanda Wan Omar juga merupakan saudara kandung kepada Allahyarham Wan Abas atau Ayah Abas (Bapa kepada seorang penulis yang juga professor di Universiti Malaya, Prof. Dr. Ir Wan Abu Bakar Wan Abas), Wan Ali (Ayah Ali), Wan Juriah dan beberapa orang lagi yang aku hanya kenali sebagai Mak Jah dan Pak Uteh sementara dua lagi saudara kandung yang belum ku kenali. Rumah keluarga Ayah Omar pasti sekali menjadi rumah pertama yang kami akan lawati setiap kali perayaan Aidilfitri. Anak cucu ayahandaku seringkali tertanya-tanya mengapa kami terlalu rapat dan bagaimana hubungan sebenar ayahandaku dengan keluarga ini.


Cerita ibuku..
Keluargaku rapat dengan keluarga Atuk Mud bukan kerana pertalian darah dengan bondaku tetapi kerana hubungan sejarah dengan Allahyarham Ayahandaku. Mengikut cerita bondaku, pada usia 10 atau 11 tahun ayahandaku telah mendapat ibu tiri setelah perkahwinan ayahandanya dengan seorang isteri baru. Kehadhiran ayahandaku dalam rumahtangga mereka telah tidak disenangi oleh ibu tiri.

Pada zaman penjajahan Jepun, ayahandaku bersama dengan beberapa orang lagi penduduk di daerah Segamat (antaranya adalah Wan Omar dan Wan Ali) telah dipaksa dan dikerah ke Siam untuk pembinaaan landasan keretapi (kemudiannya dikenali sebagai Landasan dan Jambatan maut). Satu kemalangan berlaku bilamana kaki ayahandaku tersepit dilandasan ketika pembinaan. Kecederaannya yang parah menyebabkan tentera Jepun telah membuat keputusan menghantarnya pulang ke Segamat. Penghantarannya turut diiringi oleh Wan Omar.

Teman akrab menjadi saudara kandung
Sesampainya mereka di Segamat, Wan Mahmud telah datang untuk menjemput Wan Omar. Ayahandaku bagaimanapun telah tidak disambut oleh ayahandanya sendiri. Ini menyebabkan Wan Mahmud membuat keputusan membawa ayahandaku pulang ke rumahnya. Ayahandaku telah dirawat oleh keluarga Wan Mahmud terutamanya Wan Abas. Wan Mahmud kemudiannya mengunjungi bapa ayahandaku tetapi atas sebab yang kurang menarik untuk dibicarakan telah menyebabkan Wan Mahmud membuat keputusan memelihara ayahandaku. Hubungan ayahandaku dengan anak-anak Wan Mahmud terutamanya Wan Abas, Wan Omar dan Wan Ali bertukar dari akrab kepada seperti saudara kandung. Wan Omar menjadi saudara dan teman karibnya disamping Wan Abas dan Wan Ali.

Setelah sekian lama, Wan Mahmud yang berhati mulia merasakan tidak selesa terpisahnya seorang anak dari bapa kandungnya sendiri. Beliau kemudiannya menasihatkan ayahandaku agar pulang ke bapa kandungnya dan melupakan kisah silam. Ayahanda yang memang terkenal dengan sikap hormat kepada warga tua menurut sahaja nasihat Wan Mahmud. Kepulangannya ke rumah bapanya masih tidak menampakkan perubahan sikap bapa dan ibu tirinya.

Kembali berkhidmat
Ayahandaku kemudiannya membawa diri ke Tanjung Malim, Perak, kampung asalnya dan tinggal bersama bapa saudaranya (Salleh) yang mempunyai anak yang sama namanya dengan namaku (disitulah bagaimana asal namaku). Ayahandaku telah diberikan pendidikan yang baik sehingga beliau dapat melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Tanjung Malim yang kemudiannya di beri nama Maktab Perguruan Sultan Idris - MPSI (kini Universiti Perguruan Sultan Idris - UPSI). MPSI ialah maktab yang berprestij dan telah melahirkan beberapa orang menteri.

Ayahandaku membuat keputusan untuk pulang berkhidmat di Segamat dan tinggal bersama keluarga yang telah banyak sanggup berkorban untuknya...keluarga Wan Mahmud.

Keluarga Wan Mahmud yang mulia
Kini ku telah mendalami maksud pengorbanan, maksud keikhlasan, maksud ihsan dan kini ku faham bagaimana ayahandaku memiliki sifat-sifat terpuji yang menjadi sanjungan penduduk Segamat ketika itu dengan sifat kesabaran, keikhlasan, keihsanan, keinsanan, pemurah, ketabahan, dan perjuangan. Terima kasih KELUARGA WAN MAHMUD.

Ya Allah ya Tuhanku, Kau cucurilah rahmatMu dan sejahterakanlah roh Allahyarham Wan Mahmud, Allahyarham Wan Omar Wan Mahmud, Allahyarham Wan Abas Wan Mahmud, Allahyarhamah Atuk Teh dan Allayarham Ayahandaku. Moga kau letakkan mereka dikalangan golongan yang Kau kasihi. Amin.

KEDAI AL-ABID