Welcome

SELAMAT DATANG KE BLOG Al-ABID FAMILI <<<---->>>Welcome to Al-Abid Family's blog

IKLAN

Thursday, July 13, 2006

BIOGRAFI

Dilahirkan pada 27 Oktober 1970 di daerah Segamat Johor, saya merupakan anak ke sepuluh dari 11 bersaudara hasil perkongsian hidup Tuan Haji Hassan bin Haji Muhammad dan Puan Hajah Zainab binti Haji Hassan. Ayahanda yang telah pun kembali ke rahmatullah merupakan bekas guru besar di sebuah sekolah di Segamat sementara bonda yang juga bekas seorang guru kini masih menetap di rumah yang sama peninggalan ayahanda. Kedua mereka juga telah mengambil seorang anak angkat dan tinggal bersama keluarga kami dan beliau telah diterima dengan lapang hati oleh semua sebagai sebahagian dari keluarga.

Kami 12 bersaudara telah dibesarkan dengan suasana penuh dispilin oleh ayahandabonda tercinta sesuai dengan peranan beliau sebagai seorang guru besar. Kedua ibu bapa kami juga amat menitik beratkan soal didikan agama sehingga hampir kesemua dari kami mengikuti pengajian di Sekolah Agama Daerah Segamat beriringan dengan pengajian di sekolah kebangsaan. Saya sendiri menyertai pengajian di Sekolah Agama sehingga tamat darjah lima.

Pengalaman bersekolah bermula seawal umur lima tahun apabila memasuki taman didikan kanak-kanak selama 2 tahun sebelum memulakan persekolahan rasmi di sekolah rendah pada tahun 1977 sehingga 1982. Meneruskan persekolahan di peringkat menengah pada tahun 1983 di Sekolah Tinggi Segamat sehingga tamat peringkat SPM. Keputusan yang tidak memberangsangkan menyebabkan kedua orang tua meminta saya mengulangi pengajian di Institut Teroka Segamat. Berjaya memperbaiki pencapaian dengan memperolehi pangkat kedua SPM tetapi tidak cukup untuk pergi lebih jauh menyebabkan saya mula tersentak dari keselesaan hidup setelah melihat kebanyakkan dari kekanda dan saudara-mara sebaya berjaya di dalam pengajian. Saya bertekad untuk meneruskan pengajian diperingkat STPM di institut yang sama. Dengan berpegang pada perinsip “Tenaga dan Akal, Doa dan Tawakkal“ saya berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan yang terbaik. Namun manusia merancang, Allah yang menentukan. Saya redha dengan pemberian Ilahi sungguhpun dianugerahkan keputusan STPM yang baik tetapi tidak cukup untuk melayakkan saya ke menara gading setelah pelbagai permohonan ditolak atau tidak dijawab.

Saya kemudiannya ditawarkan untuk mula bekerja sebagai kerani di sebuah bank di ibunegara setelah berjaya di dalam temuduga. Kesabaran saya untuk melanjutkan pelajaran akhirnya termakbul apabila saya di minta melaporkan diri ke Institut Teknologi Mara, Arau Perlis pada tarikh yang sama saya di minta melaporkan diri untuk bertugas di bank. Kedua orang tua memberi kebebasan sepenuhnya untuk saya membuat keputusan walau jelas di mata mereka agar saya meneruskan pengajian. Setelah memohon panduan dari Yang Maha Esa, saya memilh untuk meneruskan pengajian. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang peguam tetapi setelah berbincang dengan kekanda-kekanda, saya membuat keputusan mengambil bidang perakaunan dan pengajian bermula pada tahun 1991.

Saya bertekad untuk berada di kalangan penuntut-penuntut yang mahu hampir dengan rumah Allah ketika saya berada di kampus agar saya tidak tergelincir kerana menyedari saya amat mudah dipengaruhi dalam keadaan pengalaman pertama jauh dari keluarga yang mengamalkan dispilin yang ketat. Di sini saya diperkenalkan dengan usrah yang saya dapati amat berkesan dalam membina individu dan jemaah Islamiah. Saya banyak menyertai program-program anjuran JAMIAT (Jemaah Islam ITM) sehingga di tahun-tahun yang akhir, saya dipelawa bersama-sama menganjurkan program-program mereka. Saya juga telah diberikan kepercayaan menjadi Exco Biro Agama di Kolej Kediaman selama 2 semester terakhir berturut-turut.

Saya juga bertekad membuktikan pada diri dan keluarga bahawa saya juga mampu pergi lebih jauh apabila hajat saya untuk melanjutkan pelajaran keperingkat lebih tinggi setelah berjaya memperolehi Diploma Perakaunan di kurniakan Allah SWT. Saya diterima masuk ke De Montfort University, Leicester, United Kingdom pada tahun 1994 dan sekali lagi saya cuba memastikan saya berada dilandasan yang benar dengan sentiasa berpegang pada niat yang betul apatah lagi berada di sebuah negara bukan Islam. Ramai rakan saya yang hanyut dengan kebiasaan budaya songsang masyarakat barat atas alasan perkara itu adalah kebiasaan (common) di sana. Ini menyebabkan saya berpegang kepada falsafah “Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul“ untuk memastikan saya berpegang pada kebenaran bukan pada kebiasaan. Di UK, saya menyertai Majlis Syura Muslimun (MSM) dan perpeluang menyertai program-program anjuran mereka seperti Muntada’ di London dan Muslim Summer Camp di York sambil menyertai program usrah berkala di Leicester.

Sekembalinya saya ke Malaysia pada tahun 1996 setelah memperolehi BA (Honors) in Accounting and Finance, saya telah menerima panggilan dan dipelawa bekerja di Binariang Sdn Bhd (kini di kenali sebagai Maxis Communications Bhd) sehingga sekarang. Saya kemudiannya mendirikan rumah tangga pada tahun berikutnya dan di kurniakan tiga cahayamata. Isteri saya pula kini bertugas di Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Di Maxis, saya bertugas di Jabatan Kewangan (Finance Department) dan tugas utama saya sehingga Oktober 2005 ialah membuat penilaian kewangan terhadap kesemua cadangan pelaburan dan memberi nasihat kepada pihak pengurusan dalam membuat keputusan. Kini saya bertugas di Jabatan "Corporate Strategy and Business Support" dengan memainkan peranan sebagai Penasihat Dalaman (Internal Consultant) bagi memperbaiki keberkesanan proses, menambahbaik kesempurnaan kualiti dan pemperkenalkan cara kerja baru di kesemua jabatan dan peringkat kerja. Saya juga terlibat di dalam penilaian awal pelaburan luar negara dan perancangan jangka panjang syarikat.

Di samping itu saya telah mengambil inisiatif membentuk jawatan kuasa penaja Surau Menara Maxis dan menjadi setiausaha AJK tetap sehingga sekarang. Saya juga telah menyertai initiatif pembentukkan Badan Kebajikan Islam Maxis (BAKIM) yang masih berhadapan dengan banyak cabaran dari pihak pengurusan. Mudah-mudahan ALLAH merahmati dan memudahkan segala urusan.

KEDAI AL-ABID